Thursday, October 1, 2009

Petikan Novel ke-2, Bab 2

...Sejak kejadian hari itu, Hikmah dan Jefry selalu terserampak di kafetaria. Jefry cuba menarik perhatian Hikmah, tetapi Hikmah bagai tidak nampak atau buat tak tahu sahaja. Senyuman Jefry pun tidak berbalas.
Pada suatu hari ketika Hikmah sedang makan tengahari seorang diri, ada sepasang mata sedang memerhatikannya dari jauh. Setelah setengah pinggan nasi dijamah, barulah Hikmah perasan yang dia sedang asyik diperhatikan. Iskh...sejak bila pulak mamat sorang ni ada kat situ. Tak perasan langsung. Pelahap sangat ke aku makan? Tiba-tiba sahaja tingkah laku Hikmah jadi tidak keruan apabila si pemerhati melemparkan senyuman. Cepat-cepat Hikmah mencapai tisu untuk mengelap keliling mulutnya. Takut-takut ada butiran nasi melekat di hujung bibir. Nampak comot pula nanti.
Hikmah cuba membalas senyuman si jejaka. Tetapi dirasanya kelat.
Hikmah mencapai gelas, air diteguk. Si jejaka juga meneguk airnya. Apabila gelas diletak di atas meja, dia juga melakukan perkara yang sama. Kepala ditunduk memandang nasi di dalam pinggan. Hikmah mencapai sudu dan mengauk nasi dalam pinggan. Dari ekor mata, Hikmah nampak si jejaka juga menyudu nasinya. Apabila Hikmah menyuap nasi ke dalam mulut, di jejaka mengikut tingkahnya. Sambil mengunyah nasi di dalam mulut, Hikmah menongkah dagunya pula. Seperti yang dijangka, si jejaka membuat perkara yang sama.
Buang tebiat ke apa mamat ni? Suara hati Hikmah berkata sendiri lagi.
Apabila mata mereka bertembung, si jejaka mengenyitkan mata. Apa lagi, terperanjatlah Hikmah dengan mata yang terjegil. Hikmah terus tunduk dan cuba menghabiskan baki nasi yang ada secepat mungkin. Malas dia hendak bertentangan dengan si jejaka mereng di depannya itu.
“Assalamualaikum.”
Salam dijawab di dalam hati. Apabila Hikmah mengangkat kepala, dia lebih terperanjat kerana jejaka tadi sudah berada di depannya. Tanpa dijemput, jejaka tadi terus duduk di kerusi kosong depan Hikmah. Hikmah menelan gumpalan nasi terakhir yang berada di dalam mulutnya. Agak sukar dan bagai tersekat di kerongkongnya. Segak juga bila tengok jejaka tadi dari dekat dengan baju melayu dan songkok di kepala.

1 comments:

  1. Hi selamat berkenalan. Welcome u to visit http://anagallery-suhanaoct.blogspot.com...Nice to meet u :)

    ReplyDelete