Tuesday, August 4, 2009

Petikan Novel ke-2, Bab 1

...Peristiwa dua bulan yang lalu kembali tertayang di depan mata Zafrul.

“Aduh abang...Lin sakit sangat ni. Tak tertanggung rasanya,” Salina mengerang kesakitan. Kanser usus yang dihidapinya telah disahkan doktor berada ditahap ke empat. Tiada jalan yang dapat diusahakan oleh pihak hospital untuk menyembuhkannya. Tambahan pula Salina sedang sarat mengandung. Hanya doa kepada Yang Kuasa mengharap keajaiban dari-Nya sahaja yang dapat membantu Salina.

Namun, Zafrul masih tidak mahu mengalah dan ingin mencuba setiap jenis perubatan yang ada agar Salina boleh sembuh seperti sedia kala. “Mari kita pergi jumpa Pak Ali di Perak tu. Kawan abang bagitau yang Pak Ali tu pandai ubat kanser. Boleh ya, kita ke sana Lin?” Zafrul memujuk isterinya yang sedang kesakitan. Itulah yang selalu dia buat. Ke sana, ke mari dia membawa isterinya berubat. Pantang dengar orang bercerita tentang kepandaian seseorang, sudah pasti isterinya diheret ke tempat tersebut. Tidak kira dimana sahaja tempat itu, ke utara tanahair, ke selatan, malah ke Sarawak pun pernah mereka pergi. Bagi Zafrul, dia perlu berusaha secara tradisional atau alternatif selepas hospital tidak dapat membantu isterinya. Sudah banyak wang ringgit dan tenaga dihabiskan tetapi dia tidak pernah serik.

Selalunya walaupun dalam kesakitan, Salina akan menuruti sahaja ikhtiar Zafrul. Namun, hari itu dia tidak terdaya lagi. Dia bagai sudah tahu yang masanya sudah terlalu singkat. “Tidak bang...mari kita ke hospital sahaja. Selamatkan anak kita ni. Lin dah tak tahan lagi ni. Sekurang-kurangnya, kalau Lin tidak dapat diselamatkan, anak kita ini akan menjadi penyambung hubungan kita.” Itulah permintaan Salina yang terakhir.

Ingin gugur rasanya jantung Zafrul apabila Salina berkata begitu. Tidak pernah dia terfikir yang masanya sudah tiba walaupun dia dapat melihat dengan matanya sendiri yang isterinya sedang tenat. Selama ini dia begitu yakin yang Salina akan sembuh. Tidak mungkin orang semuda Salina boleh kena penyakit kanser. Tetapi, Zafrul lupa yang segala-galanya adalah kuasa Allah SWT yang mentadbir alam semesta ini. Tiada siapa dapat melawan kuasa-Nya...

0 comments:

Post a Comment