Alhamdulillah, setelah bertahun cuba menyiapkan manuskrip "Cintaku 1" yang ditulis secara sambilan pada asalnya, akhirnya novel ini diterbitkan juga pada Mac 2009 oleh Kaki Novel. Terima kasih kepada En. Rizal khususnya dan warga kerja Kaki Novel yang telah memberi kepercayaan kepada saya sebagai penulis baru untuk terjun ke bidang ini.
Saya mula menulis "Cintaku 1" pada pertengahan tahun 2007. Ketika itu saya masih lagi bekerja di salah sebuah bank di ibu negara. Oleh kerana tugas saya di bank berkenaan melibatkan penulisan manual-manual bank, jiwa saya terlalu dekat dengan penulisan. Apabila ada masa terluang, saya menulis. Tidak kiralah pada masa itu saya sedang dalam lunch hour, or even ketika berada di bahu jalan semasa menunggu suami saya datang untuk ambil saya setiap petang di luar pejabat.
Terus terang saya katakan, saya memang tidak suka menunggu. Namun, tugas suami yang memerlukan dia berada lebih lama di pejabatnya kerana tugas membuatkan saya tidak ada pilihan lain ketika itu, terpaksa menunggu. Pada ketika itu, saya habis pejabat tepat pukul 6 petang, suami pula perlu menyiapkan kerjanya selalunya akan settle pada pukul 7 atau 7:15 malam. Pada mulanya memang saya selalu bermasam muka setiap kali masuk kereta kerana penat menunggu di tepi Jalan Sultan Ismail yang sibuk saban petang sehingga tidak terkira betapa banyaknya karbon monosida dari asap kenderaan yg telah saya sedut. Sehinggalah satu ketika, saya terfikir takkan lah setiap hari perlu bermasam muka dengan suami tercinta dan takkanlah saya nak biarkan masa lebih 1 jam setiap hari itu berlalu begitu sahaja...jadi, saya mula mengeluarkan pen dan buku nota kecil yang sentiasa berada di dalam handbag saya. Sekurang-kurangnya, walaupun saya tidak menulis, dengan menconteng-conteng dan melukis apa yang patut membuatkan saya lupa sekejap perasaan yang meluap-luap marah kerana terpaksa menunggu. Jadi, waktu inilah akhirnya saya gunakan untuk menulis manuskrip saya. Akhirnya saya berterima kasih kepada suami yang selalu ambil saya lambat.

0 comments:
Post a Comment