Thursday, October 1, 2009

Petikan Novel ke-2, Bab 2

...Sejak kejadian hari itu, Hikmah dan Jefry selalu terserampak di kafetaria. Jefry cuba menarik perhatian Hikmah, tetapi Hikmah bagai tidak nampak atau buat tak tahu sahaja. Senyuman Jefry pun tidak berbalas.
Pada suatu hari ketika Hikmah sedang makan tengahari seorang diri, ada sepasang mata sedang memerhatikannya dari jauh. Setelah setengah pinggan nasi dijamah, barulah Hikmah perasan yang dia sedang asyik diperhatikan. Iskh...sejak bila pulak mamat sorang ni ada kat situ. Tak perasan langsung. Pelahap sangat ke aku makan? Tiba-tiba sahaja tingkah laku Hikmah jadi tidak keruan apabila si pemerhati melemparkan senyuman. Cepat-cepat Hikmah mencapai tisu untuk mengelap keliling mulutnya. Takut-takut ada butiran nasi melekat di hujung bibir. Nampak comot pula nanti.
Hikmah cuba membalas senyuman si jejaka. Tetapi dirasanya kelat.
Hikmah mencapai gelas, air diteguk. Si jejaka juga meneguk airnya. Apabila gelas diletak di atas meja, dia juga melakukan perkara yang sama. Kepala ditunduk memandang nasi di dalam pinggan. Hikmah mencapai sudu dan mengauk nasi dalam pinggan. Dari ekor mata, Hikmah nampak si jejaka juga menyudu nasinya. Apabila Hikmah menyuap nasi ke dalam mulut, di jejaka mengikut tingkahnya. Sambil mengunyah nasi di dalam mulut, Hikmah menongkah dagunya pula. Seperti yang dijangka, si jejaka membuat perkara yang sama.
Buang tebiat ke apa mamat ni? Suara hati Hikmah berkata sendiri lagi.
Apabila mata mereka bertembung, si jejaka mengenyitkan mata. Apa lagi, terperanjatlah Hikmah dengan mata yang terjegil. Hikmah terus tunduk dan cuba menghabiskan baki nasi yang ada secepat mungkin. Malas dia hendak bertentangan dengan si jejaka mereng di depannya itu.
“Assalamualaikum.”
Salam dijawab di dalam hati. Apabila Hikmah mengangkat kepala, dia lebih terperanjat kerana jejaka tadi sudah berada di depannya. Tanpa dijemput, jejaka tadi terus duduk di kerusi kosong depan Hikmah. Hikmah menelan gumpalan nasi terakhir yang berada di dalam mulutnya. Agak sukar dan bagai tersekat di kerongkongnya. Segak juga bila tengok jejaka tadi dari dekat dengan baju melayu dan songkok di kepala.

Tuesday, August 4, 2009

Petikan Novel ke-2, Bab 1

...Peristiwa dua bulan yang lalu kembali tertayang di depan mata Zafrul.

“Aduh abang...Lin sakit sangat ni. Tak tertanggung rasanya,” Salina mengerang kesakitan. Kanser usus yang dihidapinya telah disahkan doktor berada ditahap ke empat. Tiada jalan yang dapat diusahakan oleh pihak hospital untuk menyembuhkannya. Tambahan pula Salina sedang sarat mengandung. Hanya doa kepada Yang Kuasa mengharap keajaiban dari-Nya sahaja yang dapat membantu Salina.

Namun, Zafrul masih tidak mahu mengalah dan ingin mencuba setiap jenis perubatan yang ada agar Salina boleh sembuh seperti sedia kala. “Mari kita pergi jumpa Pak Ali di Perak tu. Kawan abang bagitau yang Pak Ali tu pandai ubat kanser. Boleh ya, kita ke sana Lin?” Zafrul memujuk isterinya yang sedang kesakitan. Itulah yang selalu dia buat. Ke sana, ke mari dia membawa isterinya berubat. Pantang dengar orang bercerita tentang kepandaian seseorang, sudah pasti isterinya diheret ke tempat tersebut. Tidak kira dimana sahaja tempat itu, ke utara tanahair, ke selatan, malah ke Sarawak pun pernah mereka pergi. Bagi Zafrul, dia perlu berusaha secara tradisional atau alternatif selepas hospital tidak dapat membantu isterinya. Sudah banyak wang ringgit dan tenaga dihabiskan tetapi dia tidak pernah serik.

Selalunya walaupun dalam kesakitan, Salina akan menuruti sahaja ikhtiar Zafrul. Namun, hari itu dia tidak terdaya lagi. Dia bagai sudah tahu yang masanya sudah terlalu singkat. “Tidak bang...mari kita ke hospital sahaja. Selamatkan anak kita ni. Lin dah tak tahan lagi ni. Sekurang-kurangnya, kalau Lin tidak dapat diselamatkan, anak kita ini akan menjadi penyambung hubungan kita.” Itulah permintaan Salina yang terakhir.

Ingin gugur rasanya jantung Zafrul apabila Salina berkata begitu. Tidak pernah dia terfikir yang masanya sudah tiba walaupun dia dapat melihat dengan matanya sendiri yang isterinya sedang tenat. Selama ini dia begitu yakin yang Salina akan sembuh. Tidak mungkin orang semuda Salina boleh kena penyakit kanser. Tetapi, Zafrul lupa yang segala-galanya adalah kuasa Allah SWT yang mentadbir alam semesta ini. Tiada siapa dapat melawan kuasa-Nya...

Thursday, July 2, 2009

'Cintaku 1' Pernah Berada Dalam Carta Bestseller MPH



Sebulan selepas dipasarkan, di suatu petang En. Rizal (boss Kaki Novel) called saya bagitau yang 'Cintaku 1' berada dalam carta bestseller MPH untuk minggu 5/4/2009 - 11/4/2009. Saya tak pernah pulak check carta tu. Mana nak sangka sebab novel tu adalah novel baru dari penulis yang baru. Walaupun berada di nombor 13, ianya sudah cukup memberi motivasi kepada saya untuk terus menulis :)

Tuesday, June 16, 2009

Novel Ke-2: Dalam Proses Penulisan

Untuk makluman, saya dalam proses menulis manuskip yang ke-2. Sebenarnya saya gemar menulis dan membaca atau menonton cerita yang santai, komedi romance & tidak terlalu berat. Oleh itu, saya sudah mula menulis untuk novel ke-2 bertajuk "Cinta Cupcakes" (ini tajuk yg saya ingin cadangkan kepada publisher).

Sedang saya menulis, ada seseorang telah menceritakan kepada saya satu kisah rumahtangga tragis yg benar-benar berlaku yg belum berkesudahan. Lepas tu, beliau mengutarakan kepada saya, "apa kata jadikan cerita novel. Create lah ending nya." Setelah berfikir lama, saya pun buat outline dan mula menulis. "Cinta Cupcakes" saya simpan dahulu. Insya'Allah akan saya sambung kemudian.

Manuskrip yg sedang saya tulis ni saya beri tajuk "Cinta Kurniaan Ke-2" (still tajuk cadangan, mungkin diubah). Ceritanya agak berat sebab based on kisah benar. Walaupun ianya kisah benar, tapi sebahagian sahaja, kerana saya masukkan fiksyen dan ditambah dengan perasa garam dan gula untuk saya adun menjadi satu jalan cerita yang lengkap.

Gambaran watak utamanya sudah ada. Tapi akan saya cerita kemudian. Jeng..jeng..jeng...tungguuu

Wednesday, June 3, 2009

Disebalik Tabir 'Cintaku 1'

Salam...dah seminggu tak update blog. Sepatutnya nak letak gambar lokasi (Part 2) tapi, ada masalah sebab gambar tak scan lagi (gambar-gambar tu saya ambil masa digital camera belum wujud...itu sebab kena scan). So, saya tulis topik lain dulu.
Sejak awal lagi saya dah bagitau yg cerita dalam 'Cintaku 1' adalah cerita rekaan semata-mata. Tapi, ada beberapa plot adalah pengalaman yg saya alami sendiri. Yang pertama, Diane & May (Mae ejaan sebenarnya) memang pernah jadi roommates saya semasa saya belajar di kolej.
Selain daripada itu, kejadian terserempak dengan tunang (tapi masa tu hanya boifren je) yg tengah makan bersuap-suap dengan perempuan lain di sebuah restoren adalah kejadian benar (ms. 12). Kalaulah u all yg mengalaminya, apa tindakan yg patut diambil? Mengamuk masa tu? Menangis? Lari? Atau pengsan?
Majlis Konvokesyen LSU yg diadakan di Stadium Bola Keranjang memang benar-benar berlaku (ms. 294).
Kemudian, kejadian kereta dicuri di depan mata di tempat parking sebuah hospital adalah pengalaman yg saya alami sendiri (ms. 420). Tapi, dalam kes sebenar tidaklah sampai keguguran sebab masa kejadian tu saya tidak mengandung. Saya benar-benar tergamam semasa kejadian sehingga terpaku sahaja melihat kereta saya dibawa lari ketika itu, nak kejar pun bukannya boleh dapat..memang macam scene dalam TV lah.
Dan akhir sekali, proses bersalin di akhir novel memang benar (ms. 430). Almost every dialog di dalam labour room itu juga adalah benar.

Monday, May 25, 2009

Gambaran Lokasi 'Cintaku 1' (Part 1)

Setelah memberi gambaran tentang watak utama dalam 'Cintaku 1', kini tiba untuk gambaran lokasi pula. saya akan buat bebrapa post untuk meletakan gambar lokasi ini kerana ada banyak gambar yg hendak diletakkan. Ingin dimaklumkan di sini bahawa cerita yg ditulis adalah fiksyen rekaan semata-mata. Namun, saya menggunakan lokasi yg memang wujud dan kebanyakkannya pernah saya jejakkan kaki agar mudah untuk saya gambarkan. Saya ingin kongsikan bersama lokasi sepanjang 'Cintaku 1'.

Untuk part 1 ini, saya letakkan gambar di sekitar LSU dan New Orleans, USA dahulu diikuti dengan muka surat di mana lokasi ini disebut di dalam 'Cintaku 1'. Semoga enjoy melihat semua gambar dan dapat gambaran yg tepat tentang lokasi yg disebut....

Pertama sekali, Tiger Lair Cafetaria (ms. 187) di dalam LSU Student Union tempat Nur Hanna dan Sean makan tengahari buat kali pertama mereka jumpa.








CC's Gourmet Coffee House (ms. 203) yg terletak di Perkin Road, coffee house pertama yg Nur Hanna pergi di Baton Rouge.



Beignets (ms. 203) adalah makanan French yg popular di Louisiana yg menyerupai cakoi, tetapi dimakan dengan gula icing.








Margi Gra Parade (ms. 225) di New Orleans.











French Quarter (ms. 227), New Orleans.







Mall of Louisiana (ms. 281). Shopping complex di Baton Rouge yg Nur Hanna pergi bersama Azril setelah setahun terpisah.


















Howard Johnson Inn, Kissimmee Maingate East (ms. 315). Hotel tempat Nur Hanna dan kawan-kawan bermalam ketika melawat Disneyland, Orlando.

Cinderella Castle (ms. 324) di dalam Magic Kingdom, Disneyland.





Friday, May 22, 2009

Gambaran Watak Utama 'Cintaku 1'

"Tak kenal maka tak cinta". Jadi, saya ingin memperkenalkan siapakah gambaran Azril & Nur Hanna dalam novel ini. Terlebih awal, saya ingin terangkan mengapakah pentingnya gambaran sesuatu watak kepada saya dalam buku yg tidak bergambar ini. Menurut Dato' Dr Fadzilah Kamsah, otak kita berfungsi melalui gambar. Jika kita kata lembu, dalam otak kita tidak terbayang ejaan L.E.M.B.U., tetapi kita terus akan terbayangkan rupa lembu tersebut. Betul tak? Jadi, apabila menulis novel ini saya telah membayangkan rupa Azril & Nur Hanna yg mirip orang terkenal agar apabila pembaca menyusuri novel ini, wajah mereka akan terbayang seperti kita menonton tv.


Untuk tujuan itu, dalam mukasurat 39, Azril telah memberitahu Nur Hanna yang rupanya mirip penyanyi Sheila Majib.."Ada tak orang bagitau awak yang muka awak macam Sheila Majid, tapi version muda?" Azril bertanya (petikan ms. 39). Kenapa saya pilih Sheila Majid? Sebenarnya tiada sebab tertentu. Mungkin juga boleh dikatakan Sheila adalah wanita melayu yang cantik dan nampak muda, tak dimamah usia.


Bagi Azril pula, di dalam muka surat yang sama telah dikatakan mirip Ari Wibiwo. "Awak pula ada tak yang pernah bagi komen yang rupa awak macam Ari Wibowo, pelakon Indonesia yang handsome tu?" Nur Hanna pula memberi pendapat (petikan ms. 39). Mungkin ada yang tak kenal dengan Ari Wibowo. Tapi yang penting, Ari handsome (bagi pandangan mata saya la..)
Jika diletakkan saya sebagai seorang pembaca novel atau penonton filem, kriteria utama yang menyebabkan saya memilih sesebuah cerita itu adalah pelakonnya cantik & handsome. Sebab bagi saya, apa yang hendak ditonton itu perlulah sedap mata memandang kerana tujuan utama saya menonton adalah untuk merehatkan minda. Itu pendapat saya, mungkin berbeza dengan orang lain.